Pengikut

Add to Facebook
Login with Facebook

Khamis, September 01, 2011

Tanggungjawab

"Aku terima nikahnya si dia binti si ayah dia dengan mas kahwinnya RM.."
Bunyi macam senang? Nah ini erti sebenarnya:

"Aku tanggung dosa-dosa si dia dari ibu bapanya, apa saja dosa yang dia buat, dari dedah aurat hingga ke tinggalnya solat, aku tanggung dan bukan lagi ibu bapanya tanggung, dan aku tanggung semua dosa bakal anak-anak aku. Kalau gagal, maka aku fasik, dayus & aku rela masuk neraka, aku rela malaikat Zabaniyah melibas aku hingga pecah badanku."


Fikirkan
 
Islam telah meletakkan landasan yang jelas terhadap sesebuah ikatan perkahwinan, iaitu pembinaannya mestilah di atas asas agama, bukannya nafsu semata-mata. Oleh itu,rumahtangga yang harmoni dan bahagia akan terbentuk melalui rasa tanggungjawab masing-masing dengan sempurna, kerana perkahwinan yang diikat melalui akad perkahwinan bertujuan membentuk peribadi dan mengajak pasangan tersebut supaya berkongsi pendapat, masa, cara hidup untuk sama-sama menunaikan tanggungjawab masing-masing kearah keluarga yang bahagia.
Keluarga yang baik dan harmoni akan dapat melahirkan masyarakat yang baik juga, melalui proses pembentukan peribadi dan jiwa anak-anak, yang mana semua itu bermula daripada sebuah keluarga. Masyarakat dan negara tidak akan maju dan tidak sempurna jika ahli keluarga yang mendiami sesebuah negara itu pincang.
Justeru itulah, rumahtangga yang aman dan harmoni dapat dicapai melalui kerjasama dan tanggungjawab yang baik sesama mereka, seperti berkasih sayang, sabar, tolak ansur dan wujudnya persefahaman. Untuk memastikan kerukunan sesebuah rumahtangga dan keluarga, Islam menggariskan peraturan tertentu yang merupakan tanggungjawab suami dan isteri, iaitu:

KEWAJIPAN SUAMI

1. Suami adalah ketua keluarga, pelindung isteri dan anak-anak. Sebagai pelindung keluarga dan ketua unit masyarakat yang kecil ini, suami berkewajipan mengawal, membimbing, menentukan tugas, menyelaraskan kerja, berusaha mencari keperluan hidup keluarga dan berusaha menyediakan faktor-faktor kebahagiaan dan keselamatan keluarganya.

2. Dia wajib menyediakan rumah atau kediaman, pakaian dan makan minum keluarga. Dia wajib mengajar anak isterinya dengan hukum-hukum agama. Kalau tidak mampu mengajar sendiri dia wajib menanggung biayanya. Dalam hal ini, suami yang bijak awal-awal lagi akan memilih isteri yang beragama. Dengan itu dapat meringankan beban dan kewajipannya mengajar agama kepada isterinya. Isteri yang beragama itu, pasti dapat bekejasama mendidik anak-anak dalam kehidupan beragama.

3. Pentadbiran suami di dalam rumah tangga hendaklah berdasarkan rahmah (kasihan belas) berakhlak dan contoh yang baik. la bertanggungjawab di hadapan Allah s.w.t terhadap keluarganya. Bersikap baik dan adil di dalam mengendalikan rumah tangga adalah penting. Rasulullah s.a.w menyifatkan orang yang baik ialah orang yang baik kepada ahli rumahnya.

4. Suami hendaklah mengasuh isteri dengan baik. Rasulullah s.a.w menyifatkan kaum wanita sebagai amanah Allah s.w.t. Amanah itu hendaklah dijaga dengan cermat. Misalnya, jika kita diamanahkan sesuatu barang dan barang itu rosak di tangan kita, tentulah ia akan melibatkan nama baik kita. Sebab itu Rasulullah s.a.w berpesan supaya bersikap baik terhadap wanita dan sentiasa memesan mereka supaya berkelakuan baik.

5. Tanggungjawab suami adalah penting di dalam membina keluarga. Tidak sah pernikahan orang yang tidak boleh mengendalikan urusan rumah tangga seperti pernikahan kanak-kanak dan orang gila. Adapun orang yang bodoh (safah) yang ditahan dari mengurus harta benda dan dirinya, tidak sah berkahwin melainkan dengan izin walinya. Orang yang mempunyai keinginan berkahwin tetapi tidak sanggup menyediakan mahar dan nafkah tidak digalakkan berkahwin, kata AI-Syafiyyah, sunat tidak berkahwin bahkan hendaklah berpuasa kerana puasa itu penahan keinginan.

Demikian juga orang yang tidak mempunyai keinginan dan hendak menumpukan perhatian kepada ibadah tidak digalakkan berkahwin. Ulama berselisih pendapat mengenai orang yang tidak mempunyai keinginan yang mampu menyediakan makan dan nafkah dan tidak pula hanya menumpukan seluruh hidupnya kepada ibadat sahaja. Menurut satu pendapat, tidak disunatkan. Menurut pandapat lain, sunat ia berkahwin.

Kita dapat melihat dengan jelas bahawa perkahwinan itu hanya digalakkan bagi mereka yang sanggup menunaikan tanggungjawab. Apabila berkahwin, menunaikan tanggungjawab kepada keluarga adalah wajib.

KEWAJIPAN ISTERI

Apabila suami sebagai ketua di dalam rumah tangga, maka isteri itu timbalannya yang mempunyai tugas dan tanggungjawab tertentu. Di antara tanggungjawab isteri ialah:

1. Bergaul dengan suami secara baik. Menuiut ulama Mazhab As-Shafie, wajib bagi isteri menggauli suaminya dengan baik.

2. Mengendalikan kerja-kerja rumah. Menurut riwayat Janzani, Rasulullah s.a.w menentukan kewajipan anaknya Fatimah mengurus rumah dan Ali mengurus kerja-kerja di luar rumah. (AI Mar´ah fi Tasawwuri Islam, m.s 105, oleh Abdul Muta´al AI Jibry).

3. Berhias untuk suami. Isteri hendaklah sentiasa berada di hadapan suami dalam keadaan menarik dan kemas. Dengan itu suami menjadi terhibur ketika di sampingnya. Tugas ini tidak dapat dilaksanakan dengan baik oleh isteri kecuali mereka yang faham dan benar-benar perihatin.

4. Pujuk memujuk adalah penting dalam kehidupan rumah tangga. Ibn al-Aswad AI-Dualy berkata kepada isterinya:

"Apabila kamu melihat aku marah, tenangkanlah aku. Apabila aku melihat kamu marah, aku pula menenangkan kamu. Jika tidak janganlah kita bersama-sama."

5. Isteri hendaklah taat kepada suami. Di dalam sesuatu tindakan, jangan sekali-kali membelakangkan suami, kerana dia ketua rumah tangga. Jika hendak keluar rumah mestilah mendapat izin dari suami terlebih dahulu. Isteri pula hendaklah memahami tugas dan kewajipan suami di luar. Sekiranya kerja itu untuk Allah s.w.t dan RasuI-Nya, ia mestilah menyokongnya, memberi galakan dan semangat dan menasihatinya supaya tidak berputus asa.

6. Wanita hendaklah sentiasa menjaga kehormatan diri dan nama suami. Wanita yang menjaga kehormatannya dianggap oleh Rasulullah s.a.w sebagai wanita yang baik dan patut menjadi ukuran bagi lelaki yang hendak memilih isteri.
Inilah di antara kewajipan isteri terhadap suami. Apabila setiap pihak menunaikan tanggungjawab, akan berkembanglah mawaddah atau kasih sayang. Batas-batas dan tanggungjawab suami isteri ini ditetapkan oleh Islam sebagai peraturan yang bertujuan mengukuhkan kehidupan dan hidup di dalam suasana ibadah kepada Allah s.w.t. Rumahtangga akan hancur jika sekiranya setiap pihak mengabaikan tanggungjawabnya. Dengan mengamalkan prinsip agama dengan betul, akan wujudlah keluarga bahagia yang merupakan tahap pertama pembentukan masyarakat Islam. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails